RESIPI KARI AYAM PERANAKAN

rsz_ncc
Assalammualaikum, salam semua. Mendung cuaca kat kampung che mat, tadi siap masak dalam jam 11+ pagi, terus hujan. Kebetulan cuaca agak panas sebelumnya dan alhamdulillah sempat juga lah kering kain yang che mat jemur. Hari ni mari kita cuba menu orang peranakan Baba Nyonya. Resipi ini dikongsi oleh seorang ahli group peranakan clan di FB. Nampak menarik dan che mat teruja nak mencuba. Resipi asal menggunakan seekor ayam, tapi disebabkan hanya nak mencuba, kita guna kurang lebih 1/2 ekor dan ditambah 1 bahagian peha. Resipi agak berbeza, tidak menggunakan rempah kari, tapi menggunakan bahan2 rempah ratus yang dikisar halus dan che mat ada tambah beberapa bahan lain. Cara memasak pun tak sama dari kari biasa. Orang peranakan ialah orang cina yang telah mengalami asimilasi budaya atas sebab perkahwinan campur dengan orang2 tempatan pada zaman dahulu kala. Mereka menjadi satu komuniti yang begitu unik dari segi pertuturan bahasa (biasanya mereka menggunakan bahasa melayu-baba + hokkien), makanan, gaya hidup dan adat istiadat. Nak mencuba kari ayam peranakan, meh che mat tuliskan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ayam (kurang lebih), potong ikut suka, cuci dan toskan
2 - 3 biji kentang, kupas dan belah 4 setiap 1, rendam
1 biji tomato saiz besar, dibelah 6
4 camca besar jus asam jawa
500 ml santan pekat
1 batang kayu manis*
3 biji bawang merah, hiris*
2 ulas bawang putih, hiris*
2 tangkai daun kari*(*bahan tumis)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN REMPAH :-)
1 camca besar  penuh ketumbar biji
4 kuntum bunga lawang
10 biji buah pelaga

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci kunyit hidup (pilih yang tua)
5 biji buah keras, hiris
2 batang serai, hiris halus
2 biji cili merah
20 tangkai cili kering, potong, buang biji dan rendam dalam air panas sekejap dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bahan-bahan rempah digoreng tanpa minyak hingga harum, kemudian kisar hingga betul2 halus menggunakan pengisar kering. Satukan rempah tadi dengan bahan2 kisar halus dan kacau rata hingga menjadi pes rempah. Dalam mangkuk besar, masukkan ayam yang telah dicuci dan ditoskan tadi. Tambah pes rempah dan gaul hingga rata. Kemudian perapkan ayam selama 30 minit (simpan dalam peti sejuk. Che mat perap 1 jam).
  2. Panasan minyak dalam periuk. Masukkan bahan2 tumis dan goreng hingga bawang layu. Masukkan ayam yang telah diperap tadi dan gaul rata. Kecilkan api dan masak hingga ayam kecut, kacau sekali sekala. Tuang air secukupnya, anggaran 3 cawan, kacau dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan jus asam jawa, kentang dan masak hingga kentang 1/2 empuk. Tambah santan dan kacau rata. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api kecil hingga ayam masak dan kentang empuk, kacau perlahan. Akhir sekali tambah tomato dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman....Selamat mencuba!!

Subscribe to receive free email updates: