RESIPI KUIH BINGKA PANDAN

rsz_kbpl
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni bonda che mat berpuasa sunat, jadi lepas masak tadi rasa macam nak bikin kuih. Plan asal nak bikin apam kampung, tapi takde pulak kelapa yang sesuai. Che mat suka kelapa yang tidak terlalu tua untuk dimakan sama apam, kalau kelapa tua, rasa macam berhampas, tak sedap. Maka kita tukar plan dari apam ke kuih bingka pandan atau kuih bakar pandan. Kalau belah2 utara awak panggil kuih bengkang eks?... Resipi kali ni che mat ambik dari  blog blogger masakan terkenal, Puan Azie dari Azie Kitchen, di sini . Che mat berkenan dengan resipi kuih bingka yang ni kerana penggunaan tepung yang agak sikit dan dari hasil gambar dari blog kak Azie, kuih bingka dia nampak lembut, maklumlah kita yang makan ni kan gigi dah goyang, ada tu dah lucut pun yea juga, jadi kena pilih makanan yang lembut2 biar senang dimakan...

rsz_kbpl1
Ternyata sangkaan che mat tepat sekali, kuih bingka pandan kali ni menepati selera dan yang penting lembut. Menggunakan 100% jus pandan tanpa ditambah sebarang pewarna makanan. Tapi kalau anda suka, tak salah masukkan sedikit pewarna makanan hijau bagi nampak lebih cantik. Che mat bakar dalam tin 4 segi berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dan masa membakar kurang lebih 1 jam 10 minit, Ini kerana nak mendapatkan permukaannya yang sedikit gelap dan berkerak. Kuih ini boleh juga dibakar dalam tin muffin, tapi pastikan tin tadi dioles dengan mentega rata2 untuk mengelakkan kuih melekat bila masak nanti. Cara membuatnya cukup mudah, boleh masukkan semua bahan2 dalam blender atau boleh juga dikacau dalam mangkuk besar menggunakan whisk. Oh yea, che mat ada tambah mentega cair dalam resipi, kalau resipi asal takde...Nak mencuba...boleh semak resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan tepung gandum
1 cawan gula pasir (che mat kurangkan 1 camca besar)
2 cawan santan
1 cawan jus pandan (kisar 5-6 helai daun pandan dengan 1 cawan air dan tapis)
2 camca besar mentega, dicairkan dan sejukkan
1/4 camca teh garam
3 biji telur gred A
Bijan secukupnya untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 190C. Lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega. Alas dengan aluminium foil dan sapu permukaannya dengan mentega. Masukkan tin tadi ke dalam oven dan biarkan ia panas.
  2. Pukul telur, garam dan gula pasir hingga gula larut. Masukkan jus pandan dan santan. Kacau rata. Tambah tepung gandum, gaul hingga rata dan tidak berbintil2. Akhir sekali masukkan mentega cair, gaul rata dan tapis adunan tadi ke dalam jug.
  3. Berhati2 keluarkan tin tadi dari oven. Tuang adunan kuih bingka dan tabur bijan rata2 atasnya sebagai hiasan. Bakar 1 jam 10 minit atau hingga kuih bingka masak (hingga permukaan kuih keperangan). Uji dengan mencucuk lidi sate bersih di bahagian tengah kuih, kalau keluarnya bersih tanda kuih sudah masak. 
  4. Keluarkan dari oven dan biarkan sekejap. Keluarkan kuih dari tin dan sejukkan sepenuhnya atas jaringan. Potong dan hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi...
CATATAN MAT GEBU :- Masa membakar, kuih akan naik tinggi, ini normal kerana kuih bingka mengandungi telur dan bila sejuk ia akan turun balik. Semasa panas, kuih bingka pandan nampak lembut, tapi bila dah cukup sejuk, kuih jadi elok, cantik dan mudah dipotong. Jika untuk sarapan pagi, che mat sarankan anda buat kuih bingka ni malam, esok pagi kuih sudah cukup sejuk untuk dipotong. Selamat mencuba!!

Subscribe to receive free email updates: