Assalammualaikum, selama semua. Hari ni che mat nak berkongsi satu resipi legend. Biasa makan terung pipit atau ada juga yang panggil terung rimbang/palembang?..Terung pipit ialah terung bersaiz kecil seperti kacang pis. Biasanya pokok terung pipit tumbuh liar di kawsan2 belukar. Batang pokok berduri dan daunnya sama seperti pokok terung biasa tapi berduri di bahagian bawah daun. Ianya juga salah satu bahan yang dimasukkan dalam kari hijau Thai. Pagi tadi che mat kemas2kan belakang rumah, sambil potong ranting2 pokok terung pipit tu, sempat jugalah kutip terung pipit. Walaupun tak banyak, tapi dapat juga dalam 1 cawan lebih. Jadi lepas kemas2, kita pun on lah projek memasak. Biasanya menu klasik ini menjadi bekal di zaman2 arwah tok dan arwah uwan ketika arwah bekerja dulu. Dan menu ini juga menjadi kegemaran arwah Bak tapi arwah Bak suka guna ikan bilis tamban. Kali ini che mat tak taruk belacan, tapi digantikan dengan pati kiub ikan bilis Maggi dan isi ikan tenggiri masin. Disebabkan mak che mat kena pantang makan belacan, kita kenalah ubah sedikit rencahnya. Kalau yang takde pantang larang, che mat syorkan guna belacan. Satu lagi pesan mak che mat, gunakan minyak goreng dari lebihan goreng ikan masin. Ini akan menjadikan masakan lagi enak dan berperisa....Resipi che mat kongsikan di bawah ini..
BAHAN-BAHANNYA :-)
1+ cawan terung pipit, yang telah diasingkan dari tangkainya, dicuci dan toskan
1 genggam longgar ikan bilis, dibersihkan cuci dan rendam sekejap
12 tangkai cili hijau, hiris (boleh lebih atau kurangkan)
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 camca besar jus asam jawa
1 kiub pati ikan bilis Maggi
1 keping hirisan nipis ikan tenggiri masin, diambil isinya sahaja
1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 5 camca besar). Tumis isi ikan masin tenggiri hingga harum. Kemudian masukkan bawang besar dan bawang putih. Kacau rata dan masak hingga bawang layu. Tambah cili hijau dan ikan bilis. Kacau rata dan masak sekejap.
- Masukkan terung pipit, kacau rata dan tuang air. Hancurkan kiub pati ikan bilis Maggi dan masukkan ke dalam kuali, kacau rata dan kecilkan api. Tutup kuali agar terung pipit cepat empuk. Kacau sekali sekala.
- Bila terung pipit empuk, boleh masukkan jus asam jawa, garam secukup rasa dan sedikit gula. Jika suka berkuah, boleh tambah sedikit air panas. Kacau dan masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!