RESIPI KULIT RAMBAI MASAK LEMAK

Assalammualaikum, salam semua. hari ni che mat masak satu menu klasik orang dulu-dulu, iaitu kulit rambai masak lemak. Mungkin generasi baru kurang atau tak biasa dengar. Tapi bagi mak2 kita, kebanyakkan mereka dah biasa dengar atau dah pernah merasa menu klasik ni. Jumaat lepas kenalan che mat, Puan Azian Iskandar atau kita orang panggil dia Yan singgah di rumah dan dia bawakkan buah rambai. Ni jam agak payah dah nak dapat buah rambai, mungkin disebabkan buah rambai kurang popular tak seperti duku, langsat dan dukong, maka pokok2 rambai telah ditebang. Bila dah makin kurang, buah rambai jadi mahal. Buah rambai pemberian Yan tu lah yang kulit dia che mat masak lemak. Rencah dia ikut suka, ada yang masak dengan ikan kembong, tapi che mat masak dengan ikan bilis tamban, pilih ikan bilis tamban yang besar, baru sedap. Resipi mudah dan bagi yang tak pernah cuba, apa kata try masak dan rasa keenakkan kulit rambai masak lemak. Resipi seperti di bawah...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan kulit rambai yang telah dipotong 3 atau 4 setiap 1, cuci dan toskan
20 ekor ikan bilis tamban, jenis besar
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping kecil asam gelugor
1 kiub ikan bilis (optional)
200 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1/4 cawan cili padi
4 biji bawang merah kecil
1 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Celur kulit rambai dalam air mendidih selama 1 minit, toskan. Ikan bilis tamban direndam dalam air panas selama 20 minit, buang sisiknya, belah 2 setiap seekor ikan tadi dan buang tulang tengahnya, che mat belah 4 setiap 1 sebab saiz ikan bilis tu besar, cuci dan ketepikan.
  2. Masukkan ikan bilis tamban, serai, bahan2 kisar halus dan asam gelugor ke dalam periuk. Kacau rata dan tuang air secukupnya, anggaran 3 cawan. Masak hingga ikan bilis tamban lembut.
  3. Masukkan kiub ikan bilis, jika guna, kulit rambai yang telah dicelur tadi dan kacau rata. Jika kurang kuah, boleh tambah sedikit lagi air panas. Tuang santan, masukkan daun kunyit dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula, Kacau perlahan dan biarkan mendidih dengan api sederhana. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!

Subscribe to receive free email updates: