RESIPU KURMA AYAM SAMA TELUR

rsz_kakt
Assalammualaikum, salam semua. Dan selamat hari ibu buat bonda che che mat, Hjh Jamaliah Bt Hassan dan tak lupa untuk semua ibu2 di seluruh muka bumi ini. Terima kasih atas segala pengorbanan yang telah ibu2 lakukan. Hari ni che mat masak kurma ayam. Rasanya lama juga tak masak kurma sejak kurang sihat tu hari. Masakan kurma sedap dimakan dengan segala jenis nasi berperisa seperti nasi minyak, nasi briyani, nasi bukhari dan yang lain2. Tak kalah sedap juga bila dihidangkan dengan nasi putih biasa, cicah roti pun molek juga, macam che mat makan tu. Ada pelbagai versi dan cara memasak kurma. Tapi che mat bikin yang mudah sajalah dan santan digantikan dengan susu sejat. Che mat dari dulu kalau guna susu sejat pilih jenama IDEAL, yang tin biru tu, memang tak tukar yang lain..

rsz_kakt1
Untuk kali ini selain kentang dan tomato, che mat masukkan juga telur rebus. Ada beberapa pilihan, samada telur rebus digoreng sekejap sebelum dimasukkan ke dalam masakan kurma, atau tak perlu goreng macam che mat bikin, kau masukkan ajer macam tu. Kentang pun ada orang goreng dulu, ini semua terpulang pada selera dan kerajinan masing2. Kalau suka kuah yang lebih pekat, boleh masak dengan api kecil hingga kuah betul2 pekat. Satu lagi bahan penting untuk mendapat rasa masakan kurma yang sedap, ialah minyak sapi. Minyak sapi dicampurkan sedikit dalam minak masak yang kita guna untuk menumis rempah ratus, tak guna banyak, dalam satu camca besar sudah memadai. Bagi menaikkan aroma masakan kurma, che mat masukkan daun pandan, daun ketumbar dan daun pudina, yang ini optional, kalau tak de atau tak nak taruk, tak perlu taruk, bukan paksaan. Kalau ada yang ingin mencuba, resipi che mat tuliskan di bawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung kurang lebih 1.2 kg (atau guna ayam daging pun tak de masalah)
4 biji kentang, kupas dan belah 2 setiap 1 biji, dan rendam
5 biji telur, direbus hingga keras, kupas dan ketepikan
2 biji tomato, dibelah 4 setiap 1
1 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
1 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
4 camca besar penuh rempah kurma
1 cawan susu sejat IDEAL*
1 biji limau nipis, perah jusnya*(*disatukan dan kacau rata, biar menjadi dadih)
1 camca besar penuh gula melaka
1 camca besar minyak sapi QBB
1 camca besar kerisik
1 pokok daun ketumbar, cuci, toskan dan hiris kasar
20 helai daun pudina
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2  biji bawang besar
4 ulas bawang putih
3 biji buah keras, hiris
1 inci halia
1 camca teh penuh lada hitam
10 biji tomato ceri @ 1 biji tomato biasa, pilih yang merah

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 helai daun pandan, disimpul
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
7 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dipotong ikut suka (che mat potong 12), cuci bersih dan toskan. Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kurma dan kacau hingga menjadi pes. Dalam periuk, panaskan minyak kurang lebih 1/3 cawan dan tambah minyak sapi. Masukkan semua bahan2 tumis, kacau rata dan masak hingga wangi.
  2. Masukkan pes rempah kurma, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut dan berubat warna. Tuang air secukupnya dan biar hingga mendidih.
  3. Bila ayam setengah empuk, masukkan kentang. Masak hingga kentang dan ayam, empuk. Tambah susu sejat+ jus limau nipis tadi, kacau rata dan masukkan telur rebus. Masak dengan api kecil hingga kuah pekat. Masukkan gula melaka, kerisik dan perasakan dengan garam secukup rasa.
  4. Akhir sekali masukkan daun ketumbar, daun pudina, tomato dan cili merah/hijau yang dibelah tadi. Kacau perlahan dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi atau roti... Selamat mencuba!

Subscribe to receive free email updates: